CABARAN baru keselamatan siber.
CABARAN baru keselamatan siber.
Prof Dr Rabiah Ahmad

Melindungi data, maklumat dan rangkaian siber sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masa kini. Laporan terkini World Economic Forum Report November 2020 mencadangkan kepada dunia supaya dapat memantapkan kolaborasi antara sektor awam dan industri dalam menangani jenayah siber.

Peningkatan jenayah ini mendapat perhatian dunia dan setiap negara menyusun strategi memastikan alam siber terlindung serta selamat digunakan.

Malaysia tidak ketinggalan apabila mengambil langkah proaktif meningkat kepakaran keselamatan siber. Kerjasama pihak industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan telah lama berlaku dalam melahirkan tenaga pakar bagi melindungi rangkaian siber negara.

Kepakaran keselamatan siber dapat dilihat melalui penguasaan ilmu dan kemahiran dalam memastikan rangkaian siber dapat dilindungi dengan pantas. Bagi kakitangan yang bertanggungjawab melindungi rangkaian komputer dan siber perlu berupaya menawarkan perkhidmatan mengesan insiden pencerobohan sistem, kecurian data atau pemecahan kod rahsia. Selain itu, kemahiran membangunkan sistem keselamatan siber yang kukuh juga penting bagi memastikan rangkaian Internet negara terlindung daripada ancaman luar mahupun dalaman.

Penulisan ini bagi menghuraikan kepelbagaian model kerjasama antara sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan jumlah tenaga mahir serta kepakaran keselamatan siber negara. Model Kerjasama menurut laporan CyberSecurity Malaysia 2020, Malaysia memerlukan lebih daripada 40 peratus pakar keselamatan siber dalam membendung risiko jenayah dunia digital yang semakin meningkat. Inisiatif CyberSecurity Malaysia bersama agensi kerajaan, industri dan universiti dapat dilihat dalam pelbagai bentuk untuk meningkatkan kepakaran menangani ancaman itu.

Inisiatif seperti penyelidikan analisisi perisian Malware bersama universiti, penubuhan makmal Cyber Range di IPT meningkatkan kemahiran pengesanan penggodam.

Penubuhan pusat kompetensi keselamatan siber pula kolaborasi terpandu jelas memberi impak langsung melindungi rangkaian digital negara dan ancaman keganasan siber.

Penubuhan model pensijilan profesional keselamatan siber pertama negara oleh CyberSecurity Malaysia iaitu Global Accredited Cybersecurity Education (ACE) Certification Scheme atau Skim Pensijilan Global ACE membuktikan kerjasama erat sektor kerajaan, swasta dan universiti bakal meningkatkan kepakaran keselamatan siber bagi memenuhi pasaran tempatan serta antarabangsa. Skim ini juga memberi pengiktirafan tenaga mahir keselamatan siber dalam kategori profesional. Pensijilan ini mendapat pengiktirafan Malaysia Board of Technologists (MBOT) dan pakar yang berjaya mendapat gelaran Ts atau Technologist.

Kebolehpasaran graduan yang tinggi antara indikator pencapai prestasi sesebuah universiti. Nilai 100 peratus kebolehpasaran graduan menunjukkan program akademik memenuhi kriteria keperluan industri. Dalam konteks program akademik keselamatan siber, Malaysia amat bertuah kerana strategi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan pelbagai inisiatif kepada setiap universiti mempelbagaikan kurikulum program keselamatan siber supaya menepati keperluan industri dan negara.

Hampir semua IPT di Malaysia menawarkan program keselamatan siber dengan fokus masing masing di semua peringkat iaitu diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Cantiknya, setiap program yang ditawarkan mempunyai fokus dan keunikan tersendiri serta adunan kurikulumnya memenuhi saranan dan nasihat pusat rujukan keselamatan siber negara iaitu CyberSecurity Malaysia. Peranan Lembaga Industri di dalam pembangunan kurikulum program keselamatan siber membantu IPT seperti universiti awam juga swasta serta politeknik membentuk kurikulum akademik dengan acuan industri. Sebagai contoh, Program Sarjana Muda Keselamatan Rangkaian yang ditawarkan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka melantik pakar industri dari CyberSecurity Malaysia dana dari Syarikat ASK Pentest dalam menasihatkan item penting untuk dimasukkan ke dalam kandungan topik kuliah.

Kolaborasi Pusat Kemahiran Profesional

Skim Pensijilan Global ACE ditawarkan kepada pelajar IPT sebagai nilai tambah kepada ijazah yang bakal diterima. Selain itu, galakan daripada KPT melalui pemberian dana Pusat Kompetensi Keselamatan Siber atau Cybersecurity Competence Center merancakkan lagi program pensijilan profesional ini di universiti. Antara penerima dana ini adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka dengan penubuhan UTeM Cybersecurity Competence Centre atau UTeMCySCC. UTeMCySCC ditubuhkan dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia bersama Syarikat ASK Pentest dengan tujuan meningkatkan kemahiran dan pensijilan keselamatan siber.

Model kerjasama strategik ini bakal meningkatkan jumlah kepakaran profesional keselamatan siber negara. Pusat ini pasti bakal menjadi pusat latihan kepakaran siber menerusi pelbagai aktiviti seperti latihan forensik digital, latihan kepakaran pengesanan penggodam dan latihan kepakaran kriptografi.

Selain model kerjasama berbentuk pusat kompetensi, kolaborasi berbentuk penulisan dapat meningkatkan proses pengembangan ilmu keselamatan siber. Menerusi pertubuhan seperti OIC-CERT (www.oic-cert.org), sebuah pertubuhan di bawah OIC yang bertanggungjawab membincangkan masalah keselamatan siber di peringkat global, universiti dan industri telah bersama dalam membangunkan Jurnal Keselamatan Siber iaitu OIC-CERT Journal of Cybersecurity. Jurnal ini ditubuhkan bertujuan merancakkan perkongsian ilmu baharu dan maklumat terkini dalam menangani ancaman keselamatan siber. Penyumbang artikel kepada jurnal ini datang daripada pakar industri, akademik dan penyelidik. Ia menjadi rujukan kerana perkongsian ilmunya sangat terkehadapan.

Model kerjasama meningkatkan kepakaran keselamatan siber negara pastinya datang daripada semangat Keluarga Malaysia. Semangat ini menjadi asas dalam pembentukan kolaborasi khusus meningkatkan pertahanan keselamatan siber negara.

Penulis pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 5:59 AM