MOHD Naim menyantuni jemaah haji Malaysia. FOTO NSTP
MOHD Naim menyantuni jemaah haji Malaysia. FOTO NSTP
Husain Jahit


Makkah: Seluruh umat Islam khususnya jemaah haji Malaysia diingatkan supaya menolak segala bentuk mensyirikkan Allah SWT dan menuntut setiap insan untuk kembali kepada fitrahnya iaitu beriman kepada Allah SWT.

Khutbah Arafah bertajuk 'Kembali Kepada Fitrah' disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar kepada 31,600 jemaah haji Malaysia yang berwukuf di Arafah untuk menunaikan rukun kedua haji bagi tahun 1445H/2024.

"Melalui manasik atau pelaksanaan haji ini secara tidak langsung dapat mendidik manusia untuk memperkukuhkan akidah, memperbaiki amal ibadah dan membentuk keperibadian serta akhlak yang mulia. Allah SWT ingin mendidik kita menerusi ibadah haji dengan beberapa peraturan dan larangan dalam melakukan perbuatan yang membinasakan.

"Ia termasuk juga kepentingan memelihara lidah dan pertuturan. Dengan kembalinya kita kepada fitrah manusia yang mencintai kebaikan dan ketaatan, maka peliharalah segala bentuk didikan haji yang telah diperoleh dengan memelihara diri dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran," kata Mohd Naim ketika menyampaikan Khutbah Arafah.

Memetik sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda 'Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah) dan dia tidak berkata dengan perkataan yang keji dan kotor, dan tidak melakukan kefasiqan, maka dia akan kembali sebagaimana bayi yang baru dilahirkan ibunya'. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Pada kesempatan itu juga, Mohd Naim menyeru kepada jemaah haji untuk sama-sama memberi tumpuan seluruh jiwa dan raga agar kembali kepada fitrah mentaati Allah SWT, memperbanyakkan solat taubat dan berdoa semoga Allah SWT mengampunkan segala kesalahan serta kekhilafan sebagai seorang manusia yang lemah.

"Tanamkan keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi maksiat yang pernah kita lakukan. Mohonlah keampunan terhadap segala dosa yang pernah kita lakukan tanpa segan dan malu sedangkan Allah Maha Melihat perbuatan dosa yang kita lakukan. Malulah kita kepada Allah SWT yang Maha Baik dan terus melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya kepada kita yang sangat hina ini.

"Malulah juga kepada Allah SWT yang Maha Pengampun, malah Dia sentiasa menyeru kita untuk memohon keampunan dan rahmat-Nya walau dosa kita tinggi menggunung," katanya.

Sambil memetik sebuah lagi hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Dzar, Nabi SAW bersabda, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai hamba-hambaku! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Akulah yang dapat mengampuni semua dosa, maka mohonlah keampunan, nescaya Aku akan mengampuni dosa kamu." (Hadis riwayat Imam Muslim)

"Ya Allah! Inilah kami hamba-Mu datang kepada-Mu. Dengan membawa dan memikul dosa-dosa yang sangat banyak dengan mengharapkan keampunan-Mu yang Maha luas. Betapa kami selama ini telah berpaling dari seruan cinta-Mu, Ya Allah!... Ampunilah kami Ya Allah!... Ampunilah kami, Ya Allah!... Ampunilah kami, Ya Allah!" kata Mohd Naim lagi.

Justeru, Mohd Naim mengingatkan jemaah supaya melaksanakan segala rukun dan wajib haji dengan penuh tertib dan penghayatan yang tinggi.

"Iringilah setiap langkah tersebut dengan jiwa yang penuh pengharapan kepada Allah SWT agar kita mendapat rahmat dan keampunan dari-Nya.

"Tetaplah istiqamah beramal dan bersungguh-sungguh melaksanakan setiap perintah-Nya dengan sabar dan ikhlas agar ibadah haji yang dilaksanakan ini dapat menjadikan kita hamba Allah yang soleh dan musleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:01 PM