GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Oleh Mohd Shahrizal Nasir


BULAN Ramadan akan melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Ramadan menawarkan pelbagai ganjaran istimewa yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk para hamba-Nya. Setiap amalan para hamba yang dilakukan dalam bulan Ramadan digandakan pahalanya berbanding ketika berada di bulan lain.

Antara keistimewaan Ramadan ialah Allah SWT mengurniakan keampunan-Nya kepada sesiapa sahaja yang memanfaatkan peluang berada dalam bulan ini. Sesungguhnya setiap manusia tidak sama sekali terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Mungkin setiap hari manusia terjebak melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Itu fitrah manusia yang pasti melakukan kesilapan sama ada dengan sebab godaan syaitan ataupun runtunan nafsu dalam diri.

Meskipun begitu, Allah SWT menjelaskan setiap kesalahan hamba-Nya boleh diampunkan bergantung kepada usaha hamba-Nya menyesali perbuatannya dan segera bertaubat.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada para hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan (yang mereka lakukan), dan Dia mengetahui apa yang kamu semua kerjakan." (Surah as-Syura, ayat 25)

Malah, Allah SWT mengingatkan manusia jangan sesekali berputus asa mendapatkan rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja yang meyakini dirinya pasti diampuni Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka (dengan perbuatan maksiat), jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."  (Surah az-Zumar, ayat 53)

Dalam bulan Ramadan, keampunan Allah SWT diperlihatkan dengan jelas. Sesiapa berpuasa dengan sempurna maka ganjarannya adalah keampunan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampuni segala dosanya yang lalu."  (Muttafaq 'alaih)

Lihat tawaran dikurniakan Allah SWT bagi sesiapa yang berpuasa pada siang hari dalam Ramadan, ganjarannya ialah keampunan daripada-Nya. Tidak cukup dengan itu, Allah SWT turut menawarkan keampunan-Nya kepada sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan amal ibadah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa berdiri (beribadat pada malam Ramadan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampuni segala dosanya yang lalu." (Muttafaq 'alaih)

Peluang mendapatkan keampunan Allah SWT terbuka luas pada waktu siang dan juga malam Ramadan. Justeru, tanya pada diri sendiri usaha dibuat sepanjang hari Ramadan yang berlalu. Adakah usaha itu cukup melayakkan diri mendapat keampunan Allah SWT?

Orang yang membiarkan Ramadan pergi tanpa memanfaatkannya dengan amal ibadah, maka dia termasuk dalam kalangan orang rugi. Tiada siapa boleh memberi jaminan dia pasti menemui Ramadan tahun depan. Teruslah menggandakan amalan dalam bulan Ramadan pada waktu siangnya dengan berpuasa dan pada waktu malaa dengan ibadah.

Keampunan Allah SWT terbuka seluas-luasnya. Sesiapa yang melakukan kebaikan maka sesungguhnya kebaikan itu untuk dirinya, begitu juga sebaliknya. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya terpulang kepada dirinya dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahaya menimpa dirinya dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya." (Surah Fussilat, ayat 46)

Anas bin Malik berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman (hadis Qudsi): Wahai anak Adam, selagi engkau memohon kepada-Ku dan mengharap kepada-Ku, pasti Aku ampuni apa sahaja dosa engkau dan Aku tidak peduli."

Firman Allah:  "Wahai anak Adam, sekiranya dosa engkau tinggi melangit, kemudian engkau memohon keampunan-Ku, Aku pasti mengampuni dirimu, dan Aku tidak peduli."

Perkara yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Saidatina 'Aishah RA untuk diperbanyakkan pada malam Lailatulqadar ialah doa memohon keampunan daripada Allah SWT.  "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai keampunan, maka ampunilah daku." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penulis adalah pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 7:00 AM