SEMOGA ibadat haji yang dilaksanakan diterima sebagai haji yang mabrur dan meninggalkan kesan baik kepada jemaah.
SEMOGA ibadat haji yang dilaksanakan diterima sebagai haji yang mabrur dan meninggalkan kesan baik kepada jemaah.
Dr Zuraimy Ali

Jemaah haji yang baru pulang mengerjakan haji pada tahun ini sudah tentunya akan memberikan kesan positif dan kenangan indah setiap insan yang dijemput untuk menjadi tetamu Allah SWT di bumi yang penuh dengan limpahan berkat serta rahmat dari sisi-Nya. Tanggungjawab sebagai Muslim bagi memenuhi rukun Islam yang kelima telah sempurna dan dinantikan kepulangan oleh sanak saudara di Malaysia. Segala pengorbanan yang diberikan pada jalan Allah dalam usaha melaksanakan ibadat haji telah dibuktikan sebagai tanda kecintaan kepada Pencipta.

Setiap insan yang bergelar haji atau hajah perlu meneruskan perjuangan menghidupkan syiar Islam setelah pulang mengerjakan ibadat haji. Mengimarahkan masjid adalah salah satu cara bagaimana setiap Muslim melazimi diri dalam melaksanakan perintah Allah SWT melalui solat berjemaah dan memperbanyakkan zikir yang ma'thur daripada Nabi SAW serta sentiasa membasahi lidah dengan memohon keampunan daripada-Nya. Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk." (Surah at-Taubah, ayat 18)

Mengekalkan ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi perkara yang dilarang mahupun perbuatan yang sia-sia adalah ujian yang paling besar bagi setiap umat Islam. Jemaah haji yang melalui latihan kawalan diri ketika berada di bumi Makkah dengan menjaga lisan dan tindakan daripada perbuatan buruk dan fasik serta perbuatan yang dilarang ketika berihram adalah sebahagian daripada kebaikan diri seorang Muslim. Ini menjadikan jemaah haji sentiasa menjaga akhlak dan tutur kata supaya menjadi Muslim yang baik sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (Hadis Riwayat Tirmizi)

Merasai pengalaman melakukan ibadat haji sememangnya akan menjadikan jemaah haji berasakan diri seperti insan yang dekat kepada Penciptanya. Setiap perjalanan yang ditempuh dalam melakukan ibadat haji menyedarkan diri bahawa kita adalah sama disisi Pencipta. Tidak ada kedudukan atau pangkat di dunia yang dibawa bersama melainkan hanya iman dan takwa sebagai asas tanda kemuliaan daripada sisi-Nya.

Bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Justeru, sebagai kemuliaan menjadi tetamu Allah SWT dan tanda kecintaan seorang hamba kepada Tuhannya seseorang itu mestilah sentiasa berusaha mengekal dan menambahkan amal ibadah dan amal soleh apabila pulang daripada mengerjakan ibadat haji. Mudah-mudahan ibadat haji yang dilaksanakan diterima sebagai haji yang mabrur dan meninggalkan kesan baik kepada jemaah haji yang pulang.

Dalam kehidupan dunia yang sementara ini, tidaklah ada yang lebih penting melainkan setiap hamba Allah mengharapkan setiap amalannya diterima di sisi Allah SWT. Sentiasalah setiap  insan menzahirkan rasa syukur dan cinta kepada Allah atas anugerah nikmat yang diberikan dan sudah pasti jemaah haji yang pulang melaksanakan ibadat haji adalah insan yang istimewa kerana dipilih untuk menjadi tetamu Allah SWT. Moga ia menjadi kekuatan dan dorongan untuk beriltizam dalam ketaatan kepada Yang Maha Pemberi segala nikmat.


Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 6:00 AM