PENGEBUMIAN jenazah pendaki Malaysia, Zulkifli Yusof di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temerlok, Trong. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
PENGEBUMIAN jenazah pendaki Malaysia, Zulkifli Yusof di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temerlok, Trong. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Gantang: "Walau di puncak gunung, arwah tidak pernah tinggal solat," kata wakil Kelab Jelajah Alpine Malaysia (ACM), Mohd Shobir Ahmad, 50, menceritakan mengenai Allahyarham Zulkifli Yusof, 37, yang meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska.

Menurutnya, arwah juga seorng yang baik dan sering membantu rakan pendaki yang lain terutama mereka yang sudah berusia dalam soal pendakian.

"Apa yang kami kagumi 'Ajoi' (Zulkifli) ini jenis tak pernah tinggal solat ketika berada di mana-mana puncak gunung yang kami daki.

"Kali terakhir saya bergambar kenangan bersamanya ketika di puncak gunung Mera Peak, Nepal, hujung tahun lalu.

"Waktu itu saya bergambar dengan bendera logo Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi arwah yang juga jurutera Petronas maklumkan tidak bawa bendera Petronas dan minta izin saya bergambar sama.

"Dia juga kata akan bawa bendera Petronas pada siri pendakian yang lain," katanya ketika ditemui.

Menurutnya pemergian Ajoi adalah kehilangan besar buat kelab ACM dan beliau hadiri untuk memberi penghormatan terakhir serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Zulkifli disolatkan di Masjid Al Mahmudiah, Trong dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran pada 2 petang.

Sementara itu, adik arwah, Zarina, 35, berkata, penantian keluarga untuk jenazah Allahyarham pulang ke Malaysia berakhir selepas selamat tiba hari ini.

Mewakili keluarga, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan di Los Angeles dan rakan kelab arwah yang banyak membantu menguruskan proses membawa pulang jenazah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:59 PM