ALLAHYARHAM Zulkifli Yusof.
ALLAHYARHAM Zulkifli Yusof.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Allahyarham Zulkifli Yusof yang meninggal dunia semasa mendaki di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat, sempat menghantar isyarat kecemasan pintar kepada ahli keluarga pada 28 Mei lalu.

Perkara itu didedahkan pihak Kelab Jelajah Alpine Malaysia (ACM) menerusi kenyataan kelab berkenaan, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat semasa Zulkifli, 37, terkandas di kawasan berhampiran puncak Gunung Denali.

"Tindakan itu dibuat supaya pihak pengurusan ACM mendapatkan bantuan terbaik dalam usaha menyelamat.

"Ahli keluarga beliau sedia maklum mengenai pemergian Zulkifli mendaki Gunung Denali, malah minat mendaki gunung tempatan dan beraltitud tinggi diketahui oleh ahli keluarga dan sentiasa menyokong kegiatannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut ahli keluarganya, Zulkifli sememangnya mempunyai cita-cita untuk melengkapkan pendakian di tujuh gunung tertinggi di tujuh benua dunia.

"Cita-cita Zulkifli itu dilihat sebagai satu impian yang murni oleh ahli keluarganya yang sedia maklum mengenai aktiviti pendakian pernah dilakukannya untuk persediaan mendaki gunung lebih mencabar.

"Buat masa ini, ahli keluarga hanya menunggu perkembangan terkini daripada Wisma Putra dan ACM dalam urusan membawa jenazah pulang ke tanah air.

"Kami dimaklumkan sudah terdapat ahli keluarga yang menanti jenazahnya di Kuala Lumpur dan kampung di Perak untuk urusan pengebumian sebaik saja tiba di Malaysia," katanya.

Katanya, kelab itu menghargai jasa media Malaysia yang mengikuti perkembangan rapat tragedi kumpulan pendaki di Denali.

Bagaimanapun, katanya, pihak ACM menghormati keputusan ahli keluarga yang tidak mahu ditemubual secara terus dengan pihak media atas faktor tertentu.

"Ahli keluarga Zulkifli juga meminta doa rakan-rakan dan orang ramai supaya urusan membawa pulang jenazah dipermudahkan.

"Mereka juga berterima kasih kepada rakan pendaki, Muhammad Illaham Ishak, Zainudin Lot, wakil ACM di Alaska dan pihak pengurusan ACM serta Wisma Putra yang sentiasa peka memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan jenazah Zulkifli selamat dibawa turun dari lokasi kejadian, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan seorang pendaki warga Malaysia meninggal dunia ketika ekspedisi pendakian di Gunung Denali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 5:53 PM