Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu Abdul Kahar Abdul Latif, menyampaikan sumbangan daging lembu segar kepada Ketua Isi Keluarga (KIR) eKasih sempena Program Ziarah Kasih Ihsan di perkarangan Masjid Jerong Seberang. FOTO NAZDY HARUN
Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu Abdul Kahar Abdul Latif, menyampaikan sumbangan daging lembu segar kepada Ketua Isi Keluarga (KIR) eKasih sempena Program Ziarah Kasih Ihsan di perkarangan Masjid Jerong Seberang. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Marang: Seramai 100 Ketua Isi Keluarga (KIR) diraikan menjelang sambutan hari raya Aidiladha apabila setiap mereka menerima tiga kilogram (kg) daging segar sebagai persiapan menyambut perayaan.

Roshadi Mamat, 39, dari Kampung Jerong Seberang di sini, berkata, bantuan yang dihulurkan sedikit-sebanyak meringankan bebannya sekeluarga menjelang Aidiladha.

Menurutnya yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, sebagai seorang tukang rumah pendapatan yang diperoleh tidak menentu iaitu antara RM800 hingga RM1,500 sebulan.

Katanya, oleh yang demikian dia tersenarai di dalam program eKasih dan berharap suatu hari nanti dia dapat berdikari selain akan terkeluar daripada program berkenaan.

"Dengan pendapatan tidak menentu ditambah keadaan ekonomi sekarang agak sukar untuk saya keluar dari garis kemiskinan namun tidak mustahil dengan bantuan daripada kerajaan ia dapat direalisasikan.

"Maksud saya bantuan bukan semata-mata dari segi wang ringgit namun bantuan dari sudut peralatan, tapak pertanian atau penternakan yang boleh diusahakan untuk meningkatkan ekonomi keluarga," katanya yang juga bapa kepada tiga cahaya mata.

Jirannya, Yusnida Hitam, 38, seorang pembantu gerai berkata, juga bersetuju sekiranya kerajaan menyediakan kemudahan untuk aktiviti pertanian dan penternakan bagi golongan seperti kami.

"Sekiranya mendapat bimbingan yang betul tidak mustahil kami mampu keluar dari kepompong kemiskinan tegar," katanya.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dengan pendapatan tidak menentu sebayak RM35 sehari sebagai pembantu kedai sudah tentu terhimpit dengan kos sara hidup yang makin meningkat buat masa ini.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu Abdul Kahar Abdul Latif berkata, program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk meraikan KIR miskin tegar eKasih.

Menurutnya, program itu bertujuan untuk menyampaikan sumbangan berupa daging segar hasil sumbangan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Katanya, bersempena dengan program ini juga diadakan kenduri rakyat dengan kerjasama pemimpin setempat.

"Seramai 100 KIR miskin tegar bersama ahli keluarga hadir untuk menerima sumbangan yang disampaikan.

"Semoga dengan sumbangan yang disampaikan ini dapat membantu KIR dan keluarga eKasih ini meraikan Hari Raya Aidiladha dengan lebih meriah," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Kampung Jerong Seberang di sini, hari ini.

Menurutnya, program juga bertujuan meringankan beban KIR menjelang sambutan Aidiladha yang bakal disambut Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:49 PM