SAARANI berbahas mengenai Belanjawan 2024 Negeri Perak pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO BERNAMA
SAARANI berbahas mengenai Belanjawan 2024 Negeri Perak pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di Perak berkurangan daripada 9,402 kepada 4,819 setakat 18 November lalu iaitu penurunan sebanyak 51 peratus.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penurunan itu susulan program kesejahteraan rakyat yang diadakan di seluruh negeri dalam menyantuni golongan sasar berkenaan.

"Lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak telah diadakan dalam menyantuni golongan sasar ini dengan bantuan jabatan dan agensi pemberi bantuan antaranya program pasukan petugas bergerak, program keusahawanan, kursus kemahiran, bantuan perniagaan, baik pulih atau bina baharu rumah dan sebagainya dalam memastikan golongan ini dibantu bagi mengeluarkan mereka terus dari kumpulan miskin tegar," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) yang ingin tahu mengenai peranan diambil oleh pihak kerajaan negeri bagi menyokong kerajaan Persekutuan yang menyasarkan untuk menoktah kemiskinan di Malaysia menjelang 2024.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga giat mengumpulkan nama dari setiap daerah di negeri ini yang tergolong dalam kategori Miskin Tegar untuk dimohon penyertaan mereka ke dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata peserta akan ditemuduga bagi mendapatkan maklum balas jenis bantuan ingin dipohon dan akan diluluskan mengikut kelayakan manakala garis panduan pelaksanaan program akan dipantau keberhasilannya oleh pegawai lapangan IPR yang ditempatkan di setiap daerah.

"Bagi pelaksanaan projek rintis program ini, ia telah mula menunjukkan hasil iaitu terdapat peserta telah keluar daripada golongan miskin tegar eKasih dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 maksimum sebulan, berbanding pendapatan awalan minimum sebulan mereka sebelum ini hanyalah RM500.

"Selain itu, pelbagai jenis bantuan yang mula diberikan kepada mereka ini juga telah menunjukkan bibit-bibit keberhasilan dengan menunjukkan pola peningkatan pendapatan mereka secara bulanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 12:38 PM