Mayat pelajar lemas ditemui di tasik UNIMAS, Kota Samarahan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mayat pelajar lemas ditemui di tasik UNIMAS, Kota Samarahan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Penuntut ditemui lemas di tasik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan dekat sini, hari ini.

Mayat Zoolfazairy Zaharen, 20, ditemui terapung berdekatan Jambatan Cinta yang merentangi tasik berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada 8.32 pagi.

Menurutnya, tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi di dapati benar ada seorang mangsa terapung berada dalam tasik itu.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:08 PM