DR Ahmad Hata Rasit(tiga kanan) bergambar bersama peserta Scienceploration Camp 2020 anjuran Unimas, Kota Samarahan, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
DR Ahmad Hata Rasit(tiga kanan) bergambar bersama peserta Scienceploration Camp 2020 anjuran Unimas, Kota Samarahan, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


JUMLAH pelajar Bumiputera yang mendaftar mengikuti program sains di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) masih rendah iaitu hanya kira-kira 25 peratus.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, ia disebabkan ramai pelajar khasnya dari luar bandar Sarawak tidak meminati aliran sains.

“Ini boleh dilihat ketika sesi pendaftaran di Unimas apabila tidak ramai pelajar Bumiputera memilih mengikuti pengajian dalam bidang sains.

“Kebanyakan mereka lebih memilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang sastera,” katanya ketika berucap di program ‘Scienceploration Camp 2020’ anjuran Unimas di sini, semalam.

Seramai 120 orang pelajar aliran sains dari 16 sekolah sekitar Kota Samarahan dan Kuching mengikuti program bertujuan memupuk minat pelajar dalam subjek Sains dan Matematik itu.

Menjelas lanjut, hanya 19 peratus pelajar Bumiputera mendaftar masuk aliran sains di sekolah di Sarawak setiap tahun.

“Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pendaftaran pelajar dalam bidang sains,” katanya.

Beliau berkata, melalui program yang dianjurkan itu diharap pelajar tahu program yang ditawarkan di Unimas.

“Malah, mereka tahu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk apabila berhasrat menjadi doktor, jurutera atau saintis.

“Kita juga berharap apabila pelajar kembali ke sekolah, mereka menggalakkan pelajar lain untuk mendaftar dalam aliran sains,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 3:38 PM