Noremely menunjukkan gambar Syamely Nur Aleh Qarni yang di khuatiri lemas di Sungai Brooke, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Noremely menunjukkan gambar Syamely Nur Aleh Qarni yang di khuatiri lemas di Sungai Brooke, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: "Adik bongsunya selalu bertanyakan di mana kakak selepas kejadian semalam," katanya ibu kepada mangsa lemas, Noremely Angah ketika ditemui di Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kegembiraan seorang kanak-kanak Orang Asli yang pulang ke Kampung Setawar di RPS Kuala Betis di sini, bertukar tragedi apabila dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Brooke, di sini.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam itu mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7, dipercayai hanyut ketika mandi bersama ahli keluarganya di sungai terbabit.

Menceritakan kembali detik cemas yang berlaku, Noremely berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa dan tiga lagi anak saudaranya turun ke sungai selepas makan tengah hari.

Katanya, ketika mereka berlima sedang mandi tiba-tiba anak saudaranya Rosecida Sani, 18, dihanyutkan arus deras dan hampir lemas.

"Apabila melihat anak saudara hampir lemas, saya terus berenang menyelamatkan dia kerana dia tidak pandai berenang.

"Saya meninggalkan mangsa seorang diri di tepi sungai untuk menyelamatkan anak saudara itu tetapi kemudiannya melihat anak saya sudah tidak ada di tepi sungai.

"Tiada ada sebarangan teriakan meminta tolong dan ketika dia dikatakan jatuh ke dalam sungai, seorang lagi anak saudara sempat melihatnya," katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata dan ketika sampai di sungai mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik kelihatan sangat ceria kerana dapat mandi sungai.

"Selepas menyedari anak hilang, saya terus memanggil suami dan seterusnya meminta bantuan anggota keselamatan.

"Mangsa sangat rapat dengan adik bongsunya, Daniel Shafwan Sham yang berusia lima tahun dan selepas kejadian semalam di selalu bertanya kakak di mana. Rakan-rakan juga ada yang membuat solat hajat semoga anak cepat ditemui," katanya yang tinggal di Damansara Perdana, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:56 PM