ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas. FOTO Erika George
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas. FOTO Erika George
Erika George


Bintangor: Remaja lelaki yang dihanyutkan arus deras semasa mandi di Sungai Bakong, dekat sini, petang semalam ditemui lemas awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor berkata, mayat Putra Fadillah Abdullah, 17, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 6.05 pagi tadi pada jarak 30 meter dari lokasi mangsa mandi petang semalam.

Katanya, mayat ditemui terapung di pinggir sungai.

"Sejurus itu, pasukan kita mengangkat mayat ke daratan dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sarikei untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan hari ini.

Dalam kejadian 3.45 petang semalam, mangsa dikatakan sedang mandi bersama rakannya sebelum terjatuh dan dibawa arus deras sungai.

Rakan mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian kepada ibu bapa mangsa sebelum laporan dibuat berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 10:48 AM