Ruslin (dua dari kiri) bersama Muhammad Zaki (kiri) dan Azhar meninjau  sempadan Malaysia-Thailand  dengan menaiki bot di sungai Golok sempena lawatan kerja beliau ke Kelantan di Pengkalan Kubor, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ruslin (dua dari kiri) bersama Muhammad Zaki (kiri) dan Azhar meninjau sempadan Malaysia-Thailand dengan menaiki bot di sungai Golok sempena lawatan kerja beliau ke Kelantan di Pengkalan Kubor, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam terutama bas ekspres yang dikhuatiri membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) ke destinasi tertentu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, walaupun rekod tangkapan sebelum ini mendapati tidak ramai Pati menggunakan bas ekspres sebagai pengangkutan, tumpuan tetap diberikan.

"Kita akan memberi tumpuan dengan menjalankan pemeriksaan terhadap bas ekspres terutama dari Kelantan ke Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Ini berdasarkan rekod kebanyakan Pati yang masuk ke Kelantan menuju ke tiga negeri berkenaan.

"Pemeriksaan akan dibuat di pertengahan jalan dan risikan secara berterusan akan dilakukan," katanya pada sidang media selepas meninjau sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan sindiket penyeludupan manusia yang menjadikan sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Kelantan sebagai rumah transit Pati terbongkar dalam serbuan Op Gelombang V pada 13 September lalu.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket penyeludupan Pati, Ruslin berkata, kesemua mereka dibawa masuk ke Kelantan secara berperingkat sebelum dikumpulkan di hotel bajet.

"Mereka masuk dalam kumpulan yang kecil dan secara berperingkat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Menerusi dua serbuan yang dilakukan sebelum ini membabitkan sindiket yang berlainan, itu adalah tangkapan terbesar Jabatan Imigresen tahun ini," katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, polis Kelantan menahan seramai 3,154 Pati membabitkan pelbagai negara ditahan sepanjang tahun ini.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 5:00 PM