PASUKAN Pastak menumpaskan sindiket menyeludup warga asing didalangi Ali Rohingya. FOTO Ihsan JIM.
PASUKAN Pastak menumpaskan sindiket menyeludup warga asing didalangi Ali Rohingya. FOTO Ihsan JIM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menyediakan rumah 'tumpang' buat warga Myanmar yang mendarat di Kelantan sebelum dihantar ke ibu kota.

Itu kegiatan tekong darat didalangi individu dikenali 'Ali Rohingya' yang bergiat aktif sejak sejak enam bulan lalu.

Sindiket itu turut dibantu seorang lagi lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Rahim yang berperanan mengatur pergerakan warga asing.

Bagaimanapun, kegiatan terbabit berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Pasukan Taktikal Khas Imigresen (Pastak) dalam Op Khas di sekitar Kota Bharu, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada 1.00 pagi itu dijalankan rentetan daripada tangkapan Geng Bob pada 3 Februari lalu.

"Berdasarkan maklumat risikan, pasukan serbuan mengesan sebuah kenderaan dipercayai dipandu tekong darat sebelum berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh di Kota Bharu.

SEORANG daripasa suspek ditahan dalam Op Khas Pastak di Kelantan, Sabtu lalu. FOTO Ihsan JIM.
SEORANG daripasa suspek ditahan dalam Op Khas Pastak di Kelantan, Sabtu lalu. FOTO Ihsan JIM.

"Susulan itu, pasukan bertindak mengepung kenderaan suspek. Menyedari kenderaannya dihampiri pihak berkuasa, suspek bertindak memecut laju dan berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi.

"Tindakan pantas anggota Pastak berjaya menahan suspek yang dikenali

sebagai Ali berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta Perodua Kelisa yang dipandu suspek menemui tiga wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 19 hingga 21 tahun.

"Berdasarkan maklumat, semua mereka dipercayai berhenti di stesen minyak itu yang sering dijadikan lokasi menunggu bas ekspres, sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

"Pasukan kemudian bergerak memeriksa rumah dipercayai kediaman Ali dan menemui sepucuk pistol angin. Susulan penahanan Ali, pasukan serbuan menyerbu rumah di sekitar Pengkalan Kubor, Kota Bharu.

"Serbuan berjaya menangkap Rahim yang disyaki orang kanan Ali dan turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 16 hingga 27 tahun," katanya yang memberitahu sebuah Perodua Viva turut dirampas.

TURUT ditemui pistol angin dipercayai digunakan tekong darat. FOTO Ihsan JIM.
TURUT ditemui pistol angin dipercayai digunakan tekong darat. FOTO Ihsan JIM.

Ruslin berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk Pati warga Myanmar melalui laluan haram di sempadan pada waktu malam.

"Pati ditempatkan di rumah penampungan sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini dipercayai beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 seorang .

"Seramai 10 Pati termasuk dua lelaki etnik Rohingya yang disyaki tekong darat dibawa ke pejabat JIM Kelantan untuk tujuan siasatan, manakala dua kereta yang digunakan dalam kejadian ini disita," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya dengan tertangkapnya dua tekong etnik Rohingya itu berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan Pati yang aktif di Kelantan.

Katanya, jabatan itu akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:26 PM