Sabry Leman,65, menunjukkan koleksi parang yang digunakan untuk menyembelih daging korban ketika ditemui di kediamannya di Taman Seremban Jaya. FOTO AZRUL EDHAM
Sabry Leman,65, menunjukkan koleksi parang yang digunakan untuk menyembelih daging korban ketika ditemui di kediamannya di Taman Seremban Jaya. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Setiap kali tiba Aidiladha, warga emas ini tidak cukup tangan memenuhi permintaan orang ramai untuk menyembelih haiwan korban sepanjang empat Hari Tasyrik.

Bagi memastikan perjalanan penyembelihan berjalan lancar dan memenuhi tuntutan Islam, Sabry Leman, 65, memiliki hampir 40 parang khas untuk tujuan berkenaan.

Pengalamannya sebagai tukang sembelih selama 42 tahun selain pernah menjadi imam di dua masjid sejak 2000, menyebabkan penduduk setempat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Menurutnya, dia mula menjadi tukang sembelih ketika berkhidmat dalam tentera di Kem Sungai Besi di ibu negara pada 1982.

"Saya fikir selepas bersara mahu berehat, tetapi dilantik menjadi imam di Masjid Nurul Hidayah dan Masjid Saidatina Khadijah di Senawang, selain terus menjadi tukang sembelih sehingga sekarang.

"Apabila ada majlis keraian, korban dan aqiqah, penduduk minta saya sebagai tukang sembelih.

"Biasanya empat hari pertama Aidiladha, saya paling sibuk," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Jelas pesara tentera itu, disebabkan banyak haiwan korban yang perlu disembelih, dia terpaksa menggunakan parang yang berbeza bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

"Pertamanya, setiap kali sembelih seekor lembu, parang mesti dibersihkan dan tidak boleh ada darah. Jadi ia memakan masa, justeru saya akan tukar ke parang lain pula.

"Kedua, parang mesti dalam keadaan tajam bagi memastikan kita tidak menganiaya atau menyakiti haiwan korban. Ia juga bagi memastikan daging lembut apabila dimakan.

"Sepanjang pengalaman, saya pernah menyembelih sebanyak 23 haiwan korban dalam satu hari pada 2012. Itu yang paling banyak," katanya yang pernah ke merata lokasi untuk ibadah itu.

Tambahnya, sehingga kini, dia sudah menghabiskan kira-kira RM15,000 untuk membeli parang yang ditempah khas.

"Parang paling murah berharga RM270 dan paling mahal, RM900. Kebanyakannya ditempah daripada besan saya di Kota Belud, Sabah. Saya memang berpuas hati dengan hasil kerja tangannya," katanya.

Tambahnya, menyembelih haiwan korban adalah ibadah dan perlu mempunyai ilmu dengan menghadiri kursus selain ilmu dan teknik daripada individu tertentu.

"Saya sendiri menghadiri kursus dan pernah diberikan watikah seumur hidup oleh mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

"Selain teknik yang betul, terdapat beberapa pantang larang. Antaranya ketiak dan celah kelangkang tidak boleh berbau, bermakna kita perlu jaga kebersihan diri.

"Tidak boleh pegang pisau dengan keras dan menahan nafas, selain perlu ada berada dalam keadaan berwuduk. Semua bersebab, sebab itu saya kata sembelih haiwan korban satu ibadah, tidak boleh main-main," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 9:10 AM