FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Baharom Bakar


TIADA masjid dan surau di Terengganu melakukan ibadah korban melebihi 10 haiwan sempena Aidiladha, Jumaat ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, paling banyak ibadah korban dilakukan di masjid dan surau di seluruh negeri adalah antara tiga dan lima haiwan sahaja.

Beliau berkata, berdasarkan permohonan dikemukakan bagi melakukan ibadah korban di kawasan masjid dan surau, tiada permintaan jumlah haiwan melebihi 10 ekor.

"Paling banyak jumlah haiwan korban di kawasan masjid dan surau di negeri ini adalah antara tiga hingga lima ekor.

"Penganjur ibadah korban termasuk di kawasan masjid, surau serta kawasan lapang sudah diingatkan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP), termasuk jumlah kehadiran tidak melebihi 20 orang serta tidak mengadakan jamuan makan di tapak korban," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai semakan semula SOP bagi sambutan Aidiladha seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:27 PM