TOSRIN (tengah) menunjukkan surat pekeliling tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan Korban di Masjid dan Surau negeri Johor. FOTO Zain Ahmed
TOSRIN (tengah) menunjukkan surat pekeliling tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan Korban di Masjid dan Surau negeri Johor. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani


“DISEBABKAN isu tular (larangan korban di masjid dan surau) ada yang mahu menyembelih korban di halaman rumah saya,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, semalam.

Itu antara reaksi dan tempias dirasainya berhubung tular surat pekeliling larangan menyembelih haiwan korban dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Meskipun terpalit isu berkenaan, beliau bagaimanapun mengakui tabah menghadapinya selain bersedia memikul tanggungjawab serta membuat pencerahan berhubung isu itu.

Beliau yang sebelum ini mahu mendapatkan penjelasan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akhirnya merungkai kekeliruan berhubung isu ditularkan itu.

Tosrin bagaimanapun mengesahkan surat berkenaan baru di peringkat cadangan selain tiada larangan menyembelih haiwan korban dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin membuat kenyataan mengenai garis panduan pelaksanaan ibadah korban di kawasan masjid dan surau dalam negeri ini.

“Sebelum ini tular menyatakan bahawa kononnya ibadah korban tidak lagi dibenarkan di dalam masjid dan surau di negeri ini.

“Sebenarnya tidak benar (tular larangan sembelih), meskipun tular garis panduan itu...ia sebenarnya baru di peringkat cadangan,” katanya.

Beliau berkata, satu garis panduan ibadah korban diwujudkan sebagai usaha mempertingkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kawasan masjid dan surau di negeri ini.

“Ia bertujuan memenuhi tuntutan agama yang menekankan supaya menjaga imej dan surau supaya sentiasa selesa dan disenangi masyarakat,” katanya.

Justeru, katanya kerajaan negeri melalui MAINJ tidak melarang mana-mana ibadah korban dilaksanakan di dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini dengan syarat dikeluarkan Urusetia Masjid dan Surau Negeri Johor melalui Pejabat Kadi Daerah.

“Sehubungan itu, mana-mana masjid dan surau yang mempunyai tempat sembelihan khas dibenarkan melaksanakan korban di masjid dan surau masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:30 AM