Nur Izzati Mohamad


JERITAN mangsa menggagalkan kegiatan ragut seorang lelaki apabila dia dicekup sekumpulan penduduk dalam kejadian di kuil, di Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, mangsa wanita yang sedang berjalan mengelilingi pokok bagi menjalankan upacara keagamaan, tiba-tiba didatangi lelaki yang kemudian meragut rantai emas di lehernya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal, namun berjaya dihalang sekumpulan penduduk yang terdengar jeritan mangsa.

“Mangsa mengalami luka kecil di leher ekoran daripada insiden itu.

“Suspek berjaya dicekup oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Insiden itu direkod kamera litar tertutup (CCTV) yang berada berdekatan kawasan kuil hingga tular di Facebook hari ini.

Noorzainy berkata, polis merampas rantai emas yang diambil suspek dari mangsa, topi keledar, jaket dan seluar pendek berwarna hitam, telefon bimbit dan motosikal untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut, suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes ugutan.

“Dia kini ditahanvuntuk siasatan dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 8:51 PM