Mohd Hasbi Sidek


CUBAAN dua lelaki meragut rantai emas wanita di hadapan pasar raya di Taman Bersatu, Rawang, Ahad lalu, tidak kesampaian apabila mangsa sempat melawan dan meminta bantuan daripada orang ramai yang berada di lokasi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa terpaksa menanggung kesakitan pada bahagian leher dan badan akibat rantai lehernya sempat direntap selain bergelut dengan seorang daripada suspek.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa wanita berusia 45 tahun baru keluar daripada pasar raya berkenaan dan secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki bermotosikal dari arah belakang.

"Ketika berada di hadapan pasar raya, wanita berkenaan ternampak seorang lelaki berbadan besar sedang menunggu di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Mangsa yang sudah tidak sedap hati kemudiannya melintas jalan bersama anak lelakinya sebelum secara tiba-tiba seorang lelaki lain yang berbadan lebih kecil menunggang motosikal datang dari belakang dan menarik rantai emas mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu sempat melawan sambil menjerit meminta tolong menyebabkan suspek gagal meragut rantai terbabit.

"Jeritan mangsa menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi. Mangsa dibantu sebelum kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal berwarna jingga dan hitam itu menghilangkan diri.

"Bagaimanapun, akibat kejadian bergelut dengan suspek, mangsa mengalami kecederaan dan lebam pada bahagian leher dan anggota badan lain sebelum membuat laporan polis di balai terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 8:42 AM