Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika hadir untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Presint 3 hari ini. FOTO BERNAMA
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika hadir untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Presint 3 hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan dikemukakan bekas perdana menteri itu bagi menghalang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan bagi menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu serta Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

"Mahkamah juga menolak permohonan pemohon (Dr Mahathir) untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan semakan kehakiman berkenaan," kata hakim itu.

Dr Mahathir selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 5 Jun dengan menamakan Md Raus dan timbalannya Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI iaitu Baljit Singh, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Mohammed Ridha, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Bagaimanapun Hakim Amarjeet membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman sama ada beliau boleh diwakili peguam pada prosiding RCI yang sedang berlangsung.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes.

Dr Mahathir dalam afidavit sokongannya berkata keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.

Dalam permohonan itu Dr Mahathir turut memohon perintah bagi melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI.

Dr Mahathir berkata pelantikan Md Raus sebagai pengerusi RCI menimbulkan real danger of bias kerana wujud perselisihan faham antara Md Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan Md Raus dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI.

Bekas perdana menteri itu juga memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir ketika ditemui media selepas prosiding berkata beliau telah menulis kepada pihak RCI mengenai kes hari ini (keputusan di Mahkamah Tinggi) dan RCI membenarkan anak guamnya hadir ke prosiding RCI pada 11 pagi.

Sepatutnya Dr Mahathir ditetapkan memberi keterangan di hadapan panel RCI pada 9.30 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 12:02 PM