ANGGOTA bomba mengangkat mangsa yang dihempap pokok di kawasan sekolah berkenaan. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa yang dihempap pokok di kawasan sekolah berkenaan. FOTO Ihsan JBPM.
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang pekerja pembersihan kawasan sekolah maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa Musri Matali, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati dihempap pokok tumbang ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput di lokasi.

"Pasukan operasi terus bertindak memotong dahan-dahan pokok berkenaan menggunakan gergaji berantai sebelum dialihkan ke tempat lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.52 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:43 AM