Motosikal yang terperosok di celah dahan pokok yang tumbang di Jalan Tuaran Lama, Kota Kinabalu.  FOTO Ihsan APM
Motosikal yang terperosok di celah dahan pokok yang tumbang di Jalan Tuaran Lama, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sebanyak lapan kes pokok tumbang dilaporkan berlaku manakala tiga kenderaan dihempap susulan hujan dan angin kencang di sekitar bandar raya, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, laporan itu diterima antara 11 malam hingga 2 pagi.

Katanya, ia membabitkan kenderaan dihempap dan menghalang lalu lintas serta menyebabkan kemalangan.

"Antara kes diterima sebatang pokok tumbang di Jalan Tuaran Lama, Likas berhampiran stesen minyak Petronas yang menghalang lalu lintas menghala ke pusat bandar raya.

"Sebuah motosikal jenis Honda RSX merempuh pokok berkenaan dan terperosok di celah dahan pokok.

"Mangsa lelaki berusia 25 tahun mengalami cedera ringan dan pasukan APM Kota Kinabalu yang tiba di lokasi memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudian mengalihkan pokok berkenaan.

"Di kawasan Bandaran Berjaya pula, terdapat pokok tumbang dan menghempap dua kenderaan.

"Pasukan operasi kemudian mengalihkan pokok berkenaan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 8:42 AM