KEJADIAN pokok tumbang dan menghempap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Balok Baru, Kuantan.
KEJADIAN pokok tumbang dan menghempap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Balok Baru, Kuantan.
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat dihempap pokok besar dalam kejadian angin kencang di, Kampung Balok Baru, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pahang terima satu kes dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng memaklumkan terdapat kes pokok tumbang dan menghempap kanak-kanak perempuan, empat buah kenderaan awam serta kabel elektrik.

"Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota terdiri tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari BBP Gebeng telah bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar seorang kanak-kanak perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pasukan bomba mula memberikan bantuan awal kepada mangsa dan mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa.

"Kerja-kerja seterusnya anggota bomba menunggu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir ke lokasi untuk memotong bekalan elektrik," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia.

"Mangsa dikenali sebagai Aliya Zahra Mohammad Hasnizam, berasal dari Felda Cerul Satu, Kemaman, Terengganu," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 11:43 PM