Mangsa terakhir kes lemas di Pantai Sungai Ular, dekat Cherating, Mohd Fazrul Hakimi Ariffin, 11, berjaya ditemui sebentar tadi. Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan operasi pencarian kira-kira jam 1 tengahri tadi. FOTO IHSAN APMM
Mangsa terakhir kes lemas di Pantai Sungai Ular, dekat Cherating, Mohd Fazrul Hakimi Ariffin, 11, berjaya ditemui sebentar tadi. Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan operasi pencarian kira-kira jam 1 tengahri tadi. FOTO IHSAN APMM
BERNAMA

Kuantan: Mayat kanak-kanak yang hilang ketika mandi di Pantai Sungai Ular di sini, semalam, ditemukan pada 12.45 tengah hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Rosdan Zakaria berkata, mayat Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

"Sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mangsa, pasukan bomba bersama anggota polis yang terbabit dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa yang dibawa naik dari pesisir pantai kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dengan penemuan mayat mangsa terakhir itu, operasi SAR tamat pada 1.20 tengah hari, " katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada 5.45 petang semalam, Fitrah Dhia Zahraa' Zaidi, 9, dan jirannya, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, yang juga kakak kepada Mohd Fazrul Hakimi ditemukan lemas selepas mereka bersama-sama ahli keluarga ke pantai yang terletak kurang 200 meter dari rumah mereka.

Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang merupakan kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa' juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, bagaimanapun diselamatkan oleh orang awam.

Sementara itu, Mohd Zaidi Jusoh, 38, yang menemukan mayat mangsa terakhir itu ketika ditemui berkata, dia yang baru pulang daripada bertugas di Gebeng di sini, melalui jalan berkenaan kerana mengetahui terdapat mangsa lemas di kawasan pantai di situ.

"Ketika lalu saya nampak benda hitam seperti kepala dan sejurus mendekati objek tersebut ia adalah mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.

"Kanak-kanak itu, seolah-olah dibawa naik ke pesisir pantai dengan pukulan ombak...saya menghubungi kawan untuk memaklumkan perkara itu sebelum pasukan keselamatan tiba," katanya.

Berita berkaitan

Tragedi mandi di Pantai Sungai Ular

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 4:40 PM