WAN Ahmad Fayhsal
WAN Ahmad Fayhsal
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah digugurkan keahliannya serta-merta.

Ia selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sambil menjelaskan keputusan sedemikian sudah diputuskan parti itu dalam mesyuaratnya baru-baru ini.

"(Parti) sudah mesyuarat. Mereka (enam Ahli Parlimen dan seorang Adun) sudah gugur keahlian automatik," katanya ringkas ditanya bila parti akan membuat keputusan dan tindakan selanjutnya terhadap enam Ahli Parlimen dan dua Adun yang dipercayai tidak memberi maklum balas terhadap surat arahan MPT itu.

Surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros).

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kenyataan semalam, berkata, 25 Ahli Parlimen dan 58 Adun Bersatu sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ini bermakna, enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan Bersatu.

Bersatu kini memiliki 31 Ahli Parlimen.

Enam Ahli Parlimen yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sementara itu, daripada 60 Adun Bersatu pula, dua yang tidak mengemuka maklum balas surat arahan itu adalah Adun Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari, sementara seorang lagi adalah Mohd Azizi yang juga Adun Nenggiri di Kelantan.

Dengan perkembangan terbaru itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mengesahkan Bersatu akan sekali lagi membawa keputusan berkaitan kedudukan wakil rakyatnya itu ke pengetahuan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.

"Ya," katanya ketika diminta mengesahkan sama ada Bersatu akan sekali lagi mengemuka notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi menentukan kedudukan kesemua wakil rakyat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 3:08 PM