Pemilik hartanah di Pulau Pinang akan membayar hingga RM50 kadar cukai taksiran baru bermula tahun hadapan. Foto NSTP
Pemilik hartanah di Pulau Pinang akan membayar hingga RM50 kadar cukai taksiran baru bermula tahun hadapan. Foto NSTP
Siti Sofia Md Nasir


KERAJAAN negeri beri jaminan pelaksanaan kadar cukai taksiran baru pada tahun hadapan tidak akan membebankan rakyat Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan pemilik hartanah di Pulau Pinang hanya membayar kenaikan bawah RM50.

“Untuk pemilik hartanah kumpulan B40 pula kenaikan kadar cukai taksiran adalah kurang daripada RM10.

“Kita mahu jalankan kenaikan ini secara berhemah supaya ia tidak membebankan semua pihak, sama ada pemilik hartanah persendirian mahu pun pihak industri,” katanya ketika ditemui media di Nibong Tebal hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis Pembukaan Kilang Mesra Alam Sekitar oleh Kumpulan Heng Huat.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan akan menaikkan kadar cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang akan dinilai mengikut kategori hartanah bermula tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo memaklumkan kenaikan itu berdasarkan kadar cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu, selain peningkatan kos pengurusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kon Yeow berkata, semua hasil kutipan cukai taksiran akan dilabur untuk kemudahan asas dan pembangunan yang dinikmati rakyat.

Menurutnya, kenaikan cukai taksiran perlu dilakukan selaras Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan cukai berkenaan perlu disemak setiap lima tahun.

“Namun, kita sudah tidak membuat semakan dan kenaikan sejak 15 tahun lalu. Sudah sampai masanya ia dilakukan supaya kenaikan yang dilakukan tidak mendadak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 4:17 PM