GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Sayap Bersekutu Bersatu negeri akan menyantuni lebih 5,000 pengundi Cina bagi membantu calon Pas mengekalkan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Julai ini.

Ketua Bersekutu negeri, Lim Chiew Sieng berkata, program menyantuni pengundi Cina di DUN berkenaan akan diaktifkan sepanjang tempoh berkempen selepas hari penamaan calon seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 22 Jun ini.

Katanya, jentera pilihan raya daripada Bersekutu negeri akan berkampung di beberapa penempatan masyarakat Cina di DUN Sungai Bakap.

"Setakat ini lebih 80 jentera pilihan raya daripada seluruh negeri sudah bersedia untuk menyantuni masyarakat Cina di DUN berkenaan.

"Kita sudah menyatakan kesediaan untuk menghantar jentera bagi membantu Pas mengekalkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos lalu pada perjumpaan dengan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kekosongan kerusi luar jangka selepas penyandang kerusi, Nor Zamri Latiff meninggal dunia akibat keradangan dalam perut, 24 Mei lalu.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini manakala 22 Jun dan 2 Julai adalah hari penamaan calon dan hari pengundian awal.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Mengulas lanjut, Chew Sieng berkata, daripada 22,666 jumlah keseluruhan pengundi, sebanyak 22.18 peratus atau 5,914 adalah pengundi Cina.

"Kita akan bekerjasama rapat dengan parti Gerakan untuk menyantuni dan mendampingi semua pengundi Cina bagi memastikan mereka mengundi calon Pas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 3:08 PM