AMIR Hariz (dua kiri) ditemani oleh ibu, Yanti Erana Jalil, 44, bapa, Amir Mohd Hafiz Amir Khalid dan nenek, Arpah Othman, 67. meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2023 di Perkarangan Masjid Hidayah Kampung Banggol Mempelam. FOTO Ghazali Kori
AMIR Hariz (dua kiri) ditemani oleh ibu, Yanti Erana Jalil, 44, bapa, Amir Mohd Hafiz Amir Khalid dan nenek, Arpah Othman, 67. meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2023 di Perkarangan Masjid Hidayah Kampung Banggol Mempelam. FOTO Ghazali Kori
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: "Alhamdulillah berkat doa ibu bapa dan usaha berterusan membolehkan saya mendapat keputusan cemerlang 12A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali ini," kata Amir Hariz Amir Mohd Hafiz, dari Taman Dahlia, dekat sini.

Menurutnya, tiada rahsia dalam menempa kejayaan itu namun dia menjadikan setiap waktu untuk mentelaah pelajaran setiap hari.

Katanya, peperiksaan percubaan sebelum ini dia memperoleh 5A+ dan 7A namun dia tidak menyangka dalam peperiksaan sebenar mampu memperoleh 12A+.

"Pada akhir tingkatan empat saya sempat menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran yang juga salah satu cabaran ketika berada di sekolah.

"Setiap hari pagi, petang dan malam dihabiskan dengan belajar dan adakala waktu cuti juga kami tidak pulang ke pangkuan keluarga kerana mempunyai komitmen dalam pelajaran," katanya anak sulung daripada empat beradik itu.

Menurutnya, setiap hari dia menghabiskan masa belajar hingga jam 1 atau 2 pagi selain dia juga menjadi rujukan rakan-rakan untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan sesuatu subjek yang dipelajari.

Katanya, dengan keputusan yang diperoleh, dia berhajat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di United Kingdom, yang menjadi cita-cita sebelum ini.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan keputusan yang diperolehnya itu kerana bukan mudah untuk digapai.

Katanya, selain berjaya memperoleh 12A+, hari ini juga kejayaan berganda buatnya kerana lulus dalam ujian memandu yang didudukinya pada sebelah pagi.

"Hari ini saya juga memperoleh lesen memandu dan kejayaan ini adalah rezeki yang Allah SWT kurniakan dan saya amat bersyukur.

"Saya juga berterima kasih kepada kedua ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu dalam menterjemahkan kejayaan bermakna buat diri saya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:24 PM