NOORAMIERAH bersama ibu dan ayahnya selepas mengetahui keputusan 9A . FOTO Aizuddin
NOORAMIERAH bersama ibu dan ayahnya selepas mengetahui keputusan 9A . FOTO Aizuddin
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Membaca al-Quran, surah Yasin dan tidak meninggalkan solat menjadi kunci kejayaan buat Nooramierah Liana Noorsuzamir , 18, meraih 9A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah itu berkata, aktiviti berkenaan dilakukan di rumah dan asrama sebagai memohon keberkatan bagi menghadapi peperiksaan berkenaan.

Malah, dengan cara itu dirinya lebih tenang dan selesa mengikuti pelajaran walaupun berdepan tekanan ketika pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

"Tidak dapat bertemu dengan ibu bapa dan adik yang tidak dibenarkan berkunjung ke asrama dalam tempoh berkenaan saya jadikan sebagai suntikan motivasi untuk belajar.

"Namun bertemu di dalam talian dan panggilan video sudah cukup melepaskan kerinduan dalam masa sama menjadikan rakan seperjuangan seperti adik beradik serta guru seperti ibu bapa sendiri," katanya yang juga aktif dalam orkestra dan Kadet Polis.

Menurutnya, menghormati semua rakan termasuk guru, ibu bapa dan orang yang lebih tua menjadi pegangan kerana keberkatan itu mampu memberi ketenangan dalam pembelajaran.

Malah dia juga seperti yang lain juga banyak menggunakan gajet untuk proses belajar selain mencari maklumat tambahan menerusi internet.

Sementara itu, bapanya Noorsuzamir Nordin, 53 yang juga Yang di Pertua Muafakat MRSM Alor Gajah berkata, beliau gembira anaknya mencapai keputusan cemerlang selepas tekanan dilalui anaknya dan rakan yang lain selepas tiga kali SPM ditangguhkan.

Sehubungan itu, beliau membuat rakaman panggilan video selama 20 minit berbentuk motivasi yang diserahkan kepada pengetua untuk disampaikan kepada semua pelajar.

Katanya, beliau yang mewakili ibu bapa melahirkan perasaan dan harapan ahli keluarga untuk semua mereka belajar bersungguh -sungguh tanpa mengenal erti lelah dan jemu untuk berjaya.

Beliau berkata, kerja keras guru selain konsep mentor mentee dalam kalangan pelajar diamalkan juga memberi impak terhadap keberkesanan proses belajar dan mengingat untuk diterjemahkan dalam peperiksaan sebenar.

Pada masa sama pihak berkenaan juga memberi pelbagai galakan dalam semua aspek termasuk bekalan pelindung muka dana peralatan lain bagi memenuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 4:25 PM