Noor Hidayah Tanzizi


“MENGULANG hafalan sambil menahan pedas memang tidak mudah, namun itu menunjukkan tahap kesediaan dan proses memantapkan hafalan al-Quran," kata Abdul Hannan Haznan, 18.

Hannan bersama rakannya, Muhammad Hazman Johari, 18, adalah remaja yang tular selepas video mereka melakukan cabaran ‘huffaz samyang’ tersebar di media sosial sejak semalam.

Video lebih dua minit itu menunjukkan dua remaja berkenaan menyambung bacaan surah al-Baqarah ayat 25 dan 26 yang dibacakan ustaz mereka ketika sedang makan pizza berperisa Samyang di restoran makanan segera di Sitiawan, Isnin lalu.

Hannan berkata, dia menyertai program hafal al-Quran tiga bulan di Pusat Tahfiz Integrasi An-Nur di sini sejak Januari lalu.

Dua peserta program itu diuji bacaan bagi memantapkan hafalan al-Quran dan video tular itu mendapat reaksi positif orang ramai yang mengagumi keupayaan menghafal dalam keadaan menahan pedas.

"Ketika itu saya dan Hazman yang berpuasa sunat bersama seorang ustaz ke restoran berkenaan untuk berbuka puasa dan ketika sedang makan tiba-tiba ustaz mahu menguji hafalan kami.

"Perkara itu tidak menjadi masalah kerana kami memang sudah biasa diuji bila-bila masa atau ustaz panggil kami untuk mengulang hafalan.

"Cuma kali ini cabarannya agak berbeza kerana sambil mengulang hafalan kami juga menahan pedas," katanya yang memperoleh 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Menurutnya, pada sesi ujian rambang itu, dia menyambung bacaan surah al-Baqarah ayat ke 26 manakala Hazman ayat sebelumnya yang dibacakan ustaz mereka.

"Alhamdulillah, saya khatam menghafal 30 juzuk dalam masa 60 hari manakala Hazman yang juga rakan sekumpulan, dalam tempoh 59 hari dan ketika ini kami masih mengulang hafalan supaya ia lebih mantap lagi.

"Kami sebenarnya tidak sangka video itu akan tular. Jika video itu membawa mesej yang baik dan memberi perangsang kepada orang lain untuk mendalami al-Quran, saya sangat bersyukur dan gembira,” katanya.

Sementara itu, Pengarah program Dr Siti Syairah Hanafia berkata, program hafalan singkat anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) adalah usaha untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bakal mempunyai kerjaya terbaik, malah mampu menghafal al-Quran.

"Usaha kita di sini adalah menekankan penghafalan al-Quran dengan menghayati isi kandungan selain mengamalkannya dan mensasarkan peserta dapat menghafal 30 juzuk dan minimum 20 juzuk.

"Sehingga kini, seramai sembilan peserta lelaki dan lapan perempuan sudah menamatkan hafalan 30 juzuk dengan rekod paling awal hanya dalam tempoh 42 hari, " katanya ketika ditemui di lokasi program dijalankan di Tanjung Kepah, Lekir di sini, hari ini.

Katanya, program itu disertai seramai 50 peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu daripada seluruh negeri termasuklah Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 4:00 PM
PETIKAN video yang melihatkan Hannan dan Hazman menghafal surah Al-Baqarah sambil menahan pedas. FOTO Tular
PETIKAN video yang melihatkan Hannan dan Hazman menghafal surah Al-Baqarah sambil menahan pedas. FOTO Tular