Hock Lai dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas tidak mengaku pecah cermin rumah dan kereta serta air kencing positif dadah. FOTO Alias Abd Rani
Hock Lai dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas tidak mengaku pecah cermin rumah dan kereta serta air kencing positif dadah. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: "Saya makan ubat, bukan ambil dadah," kata penganggur yang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan khianat memecah cermin rumah dan kereta serta positif dadah.

Tertuduh Teo Hock Lai, 47, yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah tahun lalu berkata demikian sejurus pertuduhan berkaitan kes dadah dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan memecah cermin rumah serta cermin hadapan kereta milik seorang lelaki di Jalan Bakariah, di sini, pada 12.01 tengah malam, 25 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menggunakan dadah berbahaya apabila didapati positif dadah jenis 'benzodiazepine' di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, pada 5.30 pagi, hari sama.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh menunggang basikal melalui kawasan terbabit sebelum berhenti di hadapan rumah mangsa.

Pada hari kejadian, mangsa tiada di rumah dan kebetulan pagar rumahnya tidak berkunci. Tertuduh memasuki rumah lalu memecahkan cermin tingkap dan kereta sebelum beredar.

Kejadian itu disaksikan jiran mangsa sebelum menghubungi polis. Polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan tertuduh di Jalan Ismail, tidak jauh dari lokasi itu.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa mengikut Seksyen 12 (3) dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:05 PM