TERTUDUH (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas membayar denda. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas membayar denda. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan khianat dengan membaling batu bata ke arah cermin hadapan kereta dinaiki bekas isterinya, awal bulan lalu.

Sharulnizzan Mohamad, 37, yang juga bapa kepada empat anak bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh dan mengarahkan lelaki itu dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan, pekerja kebun itu didakwa melakukan khianat terhadap cermin hadapan kereta dengan kejadian berlaku di Parit Raja, pada 2 petang, 7 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dengan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga bekas isterinya didakwa keluar rumah dengan menaiki sebuah kereta.

Tertuduh didakwa mengekori kereta terbabit sebelum membaling batu bata dan terkena cermin hadapan.

Tindakan diambil tertuduh didakwa kerana berang bekas isterinya tidak menyekolahkan anak mereka yang di bawah jagaannya.

Susulan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Parit Raja untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 3:20 PM