KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak. FOTO Omar Ahmad
KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram sudah dibenarkan keluar kelmarin, selepas menerima rawatan selama sembilan hari di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, anggota berusia 38 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan masih memerlukan rawatan susulan.

Katanya, bapa kepada tiga anak itu juga diberikan cuti dua bulan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kesihatannya.

"Beliau ditembak dengan peluru menembusi bahagian bahu dan pinggul. Rawatan susulan pastinya ada daripada pihak hospital.

"Pastinya insiden itu memberi trauma kepada Mohd Hasif, dan beliau juga mendapatkan rawatan kaunseling ketika di hospital. Sekiranya perlu sesi kaunseling akan diberikan lagi.

"Keadaannya kini stabil, boleh berjalan dan tidak memerlukan tongkat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan negeri Johor kepada Anggota PDRM Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Dalam serangan pada 2.45 pagi pada 17 Mei lalu, dua rakan setugasnya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak dan ditetak dalam serangan dilakukan seorang individu bertopeng yang turut maut dalam kejadian ini.

Dalam kejadian itu, tujuh individu termasuk lima sekeluarga suspek ditahan.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lima ahli keluarga lelaki itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:10 AM