KEADAAN MPV yang rosak teruk selepas dilanggar lori dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar/Jalan Perindustrian Kanthan 1 di Ipoh, hari ini. FOTO ihsan polis.
KEADAAN MPV yang rosak teruk selepas dilanggar lori dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar/Jalan Perindustrian Kanthan 1 di Ipoh, hari ini. FOTO ihsan polis.
Muhammad Apendy Issahak


DUA anggota polis cedera selepas kereta peronda polis (MPV) dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah lori ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar/Jalan Perindustrian Kanthan 1 di Ipoh, petang ini.

Kemalangan 6.25 petang itu turut membabitkan dua lagi kenderaan lain, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan iaitu lori Hino, MPV Proton Inspira, Proton Waja dan Perodua Axia.

Beliau berkata, anggota polis yang cedera adalah pemandu MPV berusia 33 tahun dan penumpang hadapan berusia 53 tahun.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Chemor menghala ke Sungai Siput dan apabila sampai di tempat kejadian, ia dipercayai melanggar pada bahagian belakang MPV sedang berhenti di lampu isyarat.

“Perlanggaran belakang itu menyebabkan MPV terseret hingga melanggar lampu isyarat kemudian melambung ke atas kereta Proton Waja yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Tiang lampu isyarat patah akibat dilanggar dan jatuh terkena pada bahagian hadapan kereta Perodua Axia,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai disebabkan lori dipandu lelaki berusia 45 tahun hilang kawalan dan merempuh kenderaan berhenti di lampu isyarat.

Menurutnya, pemandu lori tidak cedera, begitu juga pemandu Proton Waja berusia 27 tahun dan pemandu Axia iaitu wanita berusia 54 tahun.

“Pemandu lori kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk diambil sampel darah dan air kencing.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 11:56 PM