KEADAAN kereta yang remuk selepas bertembung sebuah lagi kereta. FOTO Ihsan bomba.
KEADAAN kereta yang remuk selepas bertembung sebuah lagi kereta. FOTO Ihsan bomba.
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Lelaki maut apabila kereta dipandu bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 110 Jalan Johor Bahru-Melaka, berdekatan Kampung Koris, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pada 3.30 petang itu, mangsa Mohd Nor Hakkim Shariff, 27, yang memandu Perodua Viva dari arah bandar Batu Pahat menghala ke pekan Senggarang.

"Siasatan awal mendapati, kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 30-an dipercayai secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di anggota badan, manakala isterinya Fatin Nur Suhadah Suryani, 24, cedera ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)

1987.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.32 petang berhubung kemalangan membabitkan kereta Perodua Viva dan Axia.

"Sebaik tiba didapati orang awam sudah membantu mengeluarkan dua mangsa di dalam kereta Perodua Viva.

"Sementara, pemandu Perodua Axia yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat oleh orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 11:17 AM