ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, hari ini. FOTO Roselan Ab Malek.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, hari ini. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


LULUH hati seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut apabila panggilan kecemasan diterimanya berhubung kemalangan di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, tengah hari ini adalah kemalangan maut membabitkan adik perempuannya.

Lebih memilukan, kejadian itu disedarinya selepas melakukan kerja pembersihan di lokasi kemalangan sebelum secara tidak sengaja melihat kad pengenalan adik perempuannya, Nor Rarzalina Abu Kasim, 44.

Kholid, 48, berkata, dia bersama tujuh anggota lain bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja menyelamat dan membersihkan kawasan kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Saya hanya tahu mangsa maut itu adalah adik saya selepas terlihat kad pengenalannya yang ditunjukkan anggota polis bertugas di lokasi kejadian.

“Bila saya semak betul-betul, baru saya tahu dia memang adik saya. Hati saya pilu dan terkejut kerana panggilan kes ini membabitkan ahli keluarga saya sendiri,” katanya kepada pemberita di Hospital Jerantut, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Nor Rarzalina maut selepas Proton Exora dipandu bertembung dengan Mitsubishi Triton dari arah bertentangan.

Kejadian turut menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Koo Khoon Liang, 37, maut di tempat kejadian sementara tiga lagi parah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk Perodua Axia dan Proton Persona.

Beliau berkata, Mitsubishi Triton dari arah Jerantut menuju ke Temerloh dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya sebelum melanggar Proton Exora dipandu Nor Rarzalina dan kereta Perodua Axia.

“Akibat pelanggaran itu Perodua Axia berpusing sebelum melanggar Proton Persona yang datang dari arah belakang.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Axia, Rohasliana Mohd Rani, 25, patah tangan kiri, dan dua penumpang kereta Fatimah Abdullah, 64, serta Khalid Mohd Rani, 35, kritikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Tarawih malam ini di Tanah Perkuburan Islam Mat Kilau, Jerantut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 6:16 PM