Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Berang motosikal ditunggang mereka dihimpit, seorang lelaki dilaporkan memukul cermin kereta pengguna jalan raya dengan topi keledar.

Kejadian itu dilaporkan berlaku jam 11 pagi semalam di persimpangan lampu isyarat Jalan Lundang.

Aksi berkenaan sempat dirakamkan oleh pengguna jalan raya lain sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian pengadu yang berusia 31 tahun memandu Perodua Myvi bersama isteri dan seorang anak perempuan dalam perjalanan untuk pergi berniaga.

"Sebaik tiba di Jalan Lundang, dia didatangi tiga lelaki yang tidak dikenali menunggang dua motosikal.

"Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, seorang daripada suspek memukul cermin sisi kiri bahagian belakang kereta mangsa dengan topi keledar.

"Tindakan itu disebabkan tidak berpuas hati dengan pengadu yang dikatakan hampir menghimpit motosikal yang dinaiki kumpulan suspek sebelum mereka mengekori kereta mangsa sehingga berhenti di lampu isyarat itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, bagaimanapun kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa mahupun kerosakan terhadap kereta milik mangsa.

Rakaman video tular aksi suspek memukul cermin kereta mangsa. FOTO ihsan pembaca
Rakaman video tular aksi suspek memukul cermin kereta mangsa. FOTO ihsan pembaca

Katanya, beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan.

"Usaha mengesan dan menangkap semua suspek yang terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 279 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Terdahulu dua video masing-masing berdurasi 36 dan 37 saat berkaitan kejadian tular sejak semalam.

Rakaman itu memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal memukul cermin kereta seorang pengguna jalan raya dengan topi keledar dalam keadaan kenderaan masing-masing bergerak dan kelihatan kereta jenis Perodua Myvi cuba menghimpit motosikal.

Rakaman video kedua pula menunjukkan tindakan sama dilakukan sebaik berhenti di persimpangan lampu isyarat dan seorang lagi penunggang motosikal yang dipercayai rakannya turut mendekati kereta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 12:10 PM