Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua lelaki dipercayai bawah pengaruh dadah merempuh tujuh kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat di Kuala Ibai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, dua suspek berusia 30-an itu berjaya ditahan polis selepas kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka berhenti di tengah-tengah jalan selepas dipercayai mengalami kerosakan akibat merempuh pelbagai jenis kereta sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Axia dinaiki dua suspek dalam perjalanan dari arah Chendering menghala ke pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

Menurutnya, selepas melalui Jambatan Kuala Ibai, kereta dinaiki dua suspek gagal membrek dengan baik dan melanggar tujuh kenderaan lain yang sedang menunggu lampu isyarat berwarna merah di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai.

Kereta Perodua Axia yang melanggar tujuh buah kereta yang berhenti di lampu isyarat Kuala Ibai. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Kereta Perodua Axia yang melanggar tujuh buah kereta yang berhenti di lampu isyarat Kuala Ibai. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kesemua kenderaan yang terbabit mengalami kerosakan kecil dan semua pemandu yang terbabit juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan dua suspek dibawa ke IPD Kuala Terengganu untuk ujian saringan awal air kencing sebelum kedua-duanya didapati positif methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.

Sementara itu, mangsa kemalangan, Shazana Salim, 36, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Pak Maseh selepas membeli barang di sebuah kedai di Chendering.

"Ketika berada di lampu isyarat, saya dengar bunyi seakan-akan perlanggaran dan sebaik melihat cermin sisi, saya dapati ada sebuah kereta berwarna merah memandu dalam keadaan laju di bahagian tengah laluan dan merempuh beberapa kereta.

"Melihat kejadian itu, saya terkejut dan cuba mengalihkan kenderaan tetapi turut mengalami kerosakan pada cermin sisi dan dan calar pada bahagian tepi," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar dan video kemalangan jalan raya di Kuala Ibai, di sini yang membabitkan lapan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:15 AM