KEADAAN kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Krubong Permai. FOTO ihsan IPD Melaka Tengah
KEADAAN kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Krubong Permai. FOTO ihsan IPD Melaka Tengah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dua pelajar Tingkatan 4 terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Krubong Permai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.10 malam, pembonceng motosikal, Erwan Idris, 16, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Putra Norsyaqir Putrawirawan, 16, yang menunggang motosikal itu maut ketika dirawat di Hospital Melaka (HM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan pada 9.53 malam membabitkan dua kereta Perodua Axia dan Perodua Myvi serta motosikal Honda C1004-MA.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Axia dipandu pekerja pasar borong berusia 25 tahun dalam perjalanan dari arah lampu isyarat One Krubong menghala ke Taman Krubong Permai.

"Sebaik tiba di lokasi kemalangan kira-kira 9.10 malam, Perodua Axia itu didapati memasuki ke laluan bertentangan akibat terlelap dan melanggar motosikal dinaiki dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang datang dari arah bertentangan hingga terperosok di bawah kereta berkenaan.

"Kereta itu kemudiannya melanggar pula Perodua Myvi dinaiki pasangan suami isteri berusia 27 dan 26 tahun yang juga datang dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan rata dan kering dan terdapat rakaman kamera papan pemuka pada kenderaan lain.

"Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal maut di tempat kejadian manakala penunggang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah HM.

"Pemandu kedua-dua kereta dan penumpang wanita itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat HM untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya sambil memaklumkan ada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkait kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 11:06 AM