CELOTEH Nisha ketika memasak sardin kicap menerusi video dimuat naik di TikTok membuatkan dirinya dikenali ramai. FOTO Tangkap Layar TikTok Mishanti
CELOTEH Nisha ketika memasak sardin kicap menerusi video dimuat naik di TikTok membuatkan dirinya dikenali ramai. FOTO Tangkap Layar TikTok Mishanti
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Hanya kerana video celotehnya memasak sardin kicap di dapur, L Nishanti atau mesra disapa Nisha menjadi popular sekelip mata di TikTok. Buktinya, video dimuat naiknya kini meraih lebih 1.5 juta penonton walaupun Nisha, 34, dari Damansara, di sini, selamba berceloteh dalam bahasa Tamil.

Lebih mengkagumkan, rata-rata yang menonton videonya adalah orang Melayu. Berkongsi kisahnya, Nisha yang juga ibu kepada tiga anak tidak menyangka video berkenaan meraih tontonan tinggi kerana sudah dua tahun berkongsi rutin memasak iaitu sejak awal berniaga dalam talian, namun baru kini mendapat perhatian.

Menurutnya, dia mengakui tidak pandai memasak pada awalnya walaupun sekadar nasi, namun suami, D Theventhiran, 38, banyak mengajarnya selepas mereka berkahwin.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah buat video walaupun suka makan dan selalu masak di rumah untuk suami serta anak.

"Tapi disebabkan menjual sambal tumis (thokku) dan tepung idli dihasilkan sendiri secara dalam talian maka saya buat video kerana niatnya nak cari orang suka makan dengan harapan mereka yang menonton sokong perniagaan saya.

"Tak sangka pula dalam banyak perkongsian, video sardin masak kicap itu dapat tontonan tinggi sampai nak menangis baca komen kerana semuanya positif dan ramai dalam kalangan orang Melayu.

"Dulu tak macam sekarang, malah saya pernah tutup ruangan komen kerana kena sindiran (body shaming), tapi selepas video itu tular, pengikut bertambah daripada 68 orang menjadi lebih 78,000 orang," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurut Nisha, hidangan dikongsikan di TikTok kebanyakannya adalah makanan kegemarannya serta seisi keluarga.

"Sardin masak kicap itu kegemaran saya, malah anak dan suami pun suka. Cuma sebelum ini saya berceloteh dalam bahasa Tamil, tapi ramai pengikut minta saya buat video dan bercakap dalam bahasa Melayu.

"Jadi, saya cuba walaupun tak fasih sangat sebenarnya dan selepas baca komen, saya gembira kerana ramai yang suka dan minta saya kongsi lebih banyak video memasak serta resipi.

"Sebenarnya apabila ada mula menyapa serta ajak bergambar apabila berada di luar sampai panggil saya kakak sardin kicap," katanya.

Selagi diterima baik, Nisha akan terus berkongsi video memasak di TikTok dengan harapan ramai yang dapat mencuba resipinya.

"Terima kasih kepada semua yang luangkan masa menonton video dan saya sangat menghargai sokongan anda semua.

"Teruslah menyokong kerana saya akan berkongsi lebih banyak video masakan dalam bahasa Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 4:04 PM