ISMAIL Sabri ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai, malam ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai, malam ini. FOTO Bernama.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kepada kebebasan akhbar di negara ini.

Beliau berkata, media mempunyai kebebasan sepenuhnya selagi laporan yang diterbitkan itu tepat dan bertanggungjawab.

"Campur tangan politik? Media mempunyai kebebasan sepenuhnya asalkan laporan itu tepat dan bertanggungjawab.

"Saya beri jaminan berhubung kebebasan akhbar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak termasuk segelintir tokoh wartawan mempertikaikan pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan akhbar New Straits Times (NST) yang baharu dengan mendakwa ia dibuat atas campur tangan politik.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut membangkitkan kebimbangan mengenai laporan berita bahawa NST menggantikan pengarang kumpulan organisasi itu berikutan campur tangan sebuah parti politik.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ismail Sabri bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya pun belum baca berita lagi, nanti (sudah) tengok saya akan komen... saya tak nak komen benda saya tidak tahu.

"Tidak adil bagi saya komen perkara yang saya tidak ada maklumat penuh mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 12:01 AM