HASIMAH bersama keluarga Kumarasan Sathya yang mengunjunginya pada hari raya.
HASIMAH bersama keluarga Kumarasan Sathya yang mengunjunginya pada hari raya.
Oleh Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Pergaulan dengan rakan India ketika membesar menyebabkan Hasimah Saman fasih berbahasa Tamil.

Meskipun Hasimah kini menjangkau usia usia 61 tahun, ternyata pertuturannya dalam bahasa Tamil masih lancar dan tidak kekok.

Ia dilihat menerusi video dimuat naik anaknya, Juliana Pija Ismail, 38, di TikTok baru-baru ini, menunjukkan Hasimah bersembang dalam bahasa Tamil dengan tetamu India yang beraya di rumahnya.

Dalam perkongsian lain, Juliana memuat naik video ibunya rancak bersembang dengan jiran yang juga pemandu lori ikan dalam bahasa Tamil.

Menyingkap latar belakangnya, Hasimah berkata, sejak kecil lagi dia fasih bertutur dalam bahasa Tamil hasil pergaulan dengan rakan India ketika menetap ladang TRP Trong di Taiping, Perak.

"Dulu saya ada ramai kawan India dan apabila dengar mereka bersembang secara tak langsung kita belajar sekali.

"Lama-kelamaan, saya fasih dan apabila berjumpa mereka secara automatik terus cakap Tamil.

"Arwah suami pun pandai cakap Tamil, malah ada ketikanya kami bersembang dalam bahasa itu.

"Hanya kami kerana anak tak boleh cakap Tamil," katanya.

Berhubung video tular di TikTok baru-baru ini, Hasimah berkata, tetamu yang datang beraya di rumah baru-baru ini adalah anak jiran yang juga rakan baiknya.

"Namanya Kumarasan Sathya dan ayahnya, mendiang Katia kawan baik saya dan suami.

"Dulu arwah suami ada warung jadi bila masak kami panggil anak Katia makan sekali.

"Apabila tiba Deepavali, kami sekeluarga mengunjungi rumah mereka dan bertukar juadah jadi kebiasaan.

"Walaupun bapa mereka dan arwah suami sudah tiada, ikatan kekeluargaan antara kami berterusan malah setiap kali raya memang saya tunggu mereka datang," katanya yang menetap di Ara, Kampung Sungai Kayu Ara Damansara di sini.

Ibu sembilan anak itu berkata, dia tidak menyangka video dikongsi anaknya tular hingga mencecah 1.4 juta tontonan dan hanya tahu selepas rakan berkongsi dengannya.

"Malu kerana ramai tegur dan hantar kiriman WhatsApp untuk kongsi mengenainya sehingga rasa glamour walaupun saya orang biasa saja.

"Saya bersyukur ramai memberi reaksi positif dan seronok baca komen warganet yang rata-ratanya berkongsi pengalaman dengan individu berlainan kaum.

"Jujurnya, saya rindu dengan kehidupan masa lalu kerana hubungan sesama jiran pelbagai bangsa sangat baik ibarat keluarga.

"Ketika itu, kami hidup harmoni dan semua perayaan kami raikan bersam. Jadi kami percaya keharmonian itu dikekalkan sekiranya kita ada perasaan hormat menghormati juga kebolehan bertutur dalam bahasa ketiga.

"Kemahiran itu (bertutur bahasa ketiga) beri kelebihan untuk kita lebih mesra dan kukuhkan hubungan dengan syarat ketepikan perbezaan fahaman politik serta tidak terpengaruh dengan unsur negatif boleh memecahbelahkan kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:02 AM