GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang maklumat berkaitan dakwaan seorang warga Malaysia adalah dalang sebenar di belakang 'Raja Dadah India' yang ditahan, Sabtu lalu.

Dakwaan itu dibuat seorang wartawan yang juga pemilik sebuah agensi media di India menerusi wawancara di YouTube seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil semakan data mendapati, individu digelar Raja Dadah India yang ditahan Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India itu tiada dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah dalam negara.

"Hasil semakan pangkalan data Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati, sehingga kini, penama ini tidak timbul dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah di dalam negara.

"Bagaimanapun, JSJN sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa India berkaitan pembabitan penama ini di Malaysia seperti yang didakwa dalam portal berita dalam talian itu," katanya, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, PDRM tiada hubungan bilateral dengan NCB dan sebarang komunikasi hanya melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat (AS).

"PDRM, khususnya JSJN, amat menitikberatkan kerjasama antarabangsa dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah.

"Komitmen ini dapat dilihat melalui pembabitan Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), DEA dan 'Australian Federal Police' (AFP)," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, 'bos' kepada Raja Dadah India terbabit adalah warga Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan selebriti dalam industri filem Tamil.

Dia turut dikatakan menjadi pengedar filem namun identiti sebenarnya tidak didedahkan. Dakwaan itu dibuat wartawan kanan di India susulan penahanan penerbit filem Tamil, Jaffer Sadiq oleh NCB, selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM1.3 bilion.

NCB pada kenyataan baru-baru ini dilapor berkata, Jaffer dipercayai mengendalikan sindiket dadah yang membuat 45 penghantaran kira-kira 3.5 tan pseudoephedrine (bahan kimia membuat dadah sintetik) ke pelbagai negara, sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 1:04 PM