Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Buruh yang menjadi dalang dalam penganjuran aktiviti perjudian sabung ayam di Kuala Krai, 12 Mac lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Azmi Ab Aziz, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganjurkan aktiviti yang membabitkan penggunaan ayam iaitu haiwan itu tertakluk kepada penganiayaan sama ada semasa aktiviti itu sendiri.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai jam 4.45 petang pada 12 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) (u) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukkan hukuman denda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Mohd Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

AZMI (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AZMI (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Terdahulu, Mohd Sharif meminta jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ditawarkan bagi pertuduhan itu.

Azmi pula memohon jaminan paling minimum dikenakan kerana dia mempunyai ramai tanggungan termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

"Sekarang ini, duit bersama saya hanya ada RM7,000 sahaja. Jadi, saya mohon jaminan yang rendah," katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 1:36 PM