Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Guru didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap lima pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja lelaki, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Khairi Hassan, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berkomunikasi melalui WhatsApp dengan remaja lelaki berusia 17 tahun dengan menawarkan hadiah motosikal jenis Yamaha Lc berwarna merah kepada mangsa, dengan niat melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 akta sama.

Kejadian itu berlaku pada 13 Januari jam 4.37 petang di Kampung Pauh Butut, Peringat.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan jenayah seksual terhadap mangsa yang sama di sebuah bilik hotel, di sini, jam 3 petang pada 29 Januari lalu.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama dan Seksyen 14(d) akta yang sama.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh melakukan jenayah seksual terhadap mangsa yang sama.

Kejadian itu dilakukan pada 13 dan 14 Januari jam 9.22 pagi serta 10.31 pagi di Kampung Pauh Butut, di sini. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(f) akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nuri Abdul Rahman.

Terdahulu, Hajarul Falenna Itah memohon supaya mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Ahmad Nuri memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya memandangkan tertuduh bertugas sebagai seorang guru selain perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudiannya menetapkan RM30,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh melapor diri di Balai Polis setiap 1 hari bulan setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 11 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHAMAD Khairi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap lima pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja lelaki, bulan lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMAD Khairi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap lima pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja lelaki, bulan lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 1:04 PM