ORANG ramai berdiri di hadapan mayat mangsa serangan udara Israel di luar bilik mayat Hospital al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
ORANG ramai berdiri di hadapan mayat mangsa serangan udara Israel di luar bilik mayat Hospital al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Kebebasan menjadi idaman setiap manusia. Insan yang diciptakan Allah SWT dengan segala hak dan kebebasan untuk melalui kehidupan ini pastinya akan merasa terancam apabila kebebasannya diganggu. Apatah lagi jika ada yang terpaksa keluar atau dianiaya di tanah tumpah darah sendiri. Begitulah kehiduan yang dilalui oleh rakyat Palestin sejak bermulanya penjajahan Israel. Malah, sejak dahulu apa sahaja persetujuan atau hasil rundingan antara kedua-dua pihak tidak pernah dihormati oleh Israel termasuk gencatan senjata.

Rentetan siri penderitaan rakyat Palestin, tercetuslah apa yang dinamakan oleh kumpulan Hamas sebagai Operation al-Aqsa Flood yang mencetuskan tindak-balas rejim Zionis Israel. Hamas adalah singkatan daripada ḤArakat al-Muqawamah al-Islamiyyah (Islamic Resistance Movement). Hamas adalah militan gerakan nasionalis dan Islam Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang didedikasikan untuk berdirinya negara Islam merdeka dalam sejarah Palestin.

Merujuk kepada kenyataan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali peperangan yang berlaku sekarang adalah Israel memerangi Hamas. Sedangkan sasaran mereka adalah seluruh rakyat Palestin tanpa mengira kanak-kanak atau orang dewasa bahkan mereka menyerang rakyat Palestin. Serangan yang rejim Israel sasarkan ke Jenin, Nablus, Hebron dan Masjid al-Aqsa bermakna mereka menyerang penduduk Palestin secara umum. Bukanlah peperangan yang sepatutnya berlaku antara tentera dengan tentera atau negara dengan negara. Tetapi, peperangan ini ialah antara rejim Israel dengan negara yang lebih tujuh puluh tahun dijajah.

Apa yang dapat kita saksikan sekarang ialah isyarat bahawa pihak rakyat Palestin tidak pernah berdiam diri dengan segala penindasan dan pencerobohan terhadap hak rakyat Palestin. Bahkan, tindakan kali ini adalah sebagai isyarat jelas bahawa sudah sampai masanya Palestin bertindak di atas apa yang mereka lalui. Mereka juga sedang bersatu tanpa mengira fahaman politik untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel, malah percubaan untuk melepaskan diri daripada cengkaman keganasan rejim Israel. Sebenarnya amaran daripada pihak Palestin telah lama dilaungkan iaitu sepanjang pencerobohan pihak rejim Israel mereka tidak pernah berdiam diri.

Manakala, sejak awal tahun 2023 kita sentiasa mendengar keganasan yang dilakukan oleh rejim Israel. Apabila mereka terus menceroboh Masjid al-Aqsa, kem dan perkampungan serta bandar orang Palestin sudah cukup untuk menyemarakkan semangat rakyat Palestin untuk bertindak balas. Itulah yang telah berlaku kali ini. Mutakhir ini, malah sejak lebih seminggu Israel bermaharajalela dengan menceroboh masjid dan membunuh warga Palestin. Pastinya kali ini tidak dibenarkan lagi oleh pejuang kebebasan Palestin. Mereka berhak menuntut hak mereka untuk hidup bebas dan merdeka.

Persoalannya, apakah tindakan dan respon masyarakat dunia yang memerhatikan jenayah yang sedang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin? Terutamanya negara-negara yang mempunyai suara dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Paling tidak, jenayah kemanusiaan Israel wajar dihalang kuasa besar dunia. Keganasan membunuh ribuan mangsa adalah kekejaman yang tidak boleh dimaafkan. Masyarakat dunia sepatutnya berlaku adil terhadap rakyat Palestin. Semua pihak mesti tampil membela nasib rakyat Palestin yang dianiaya. Dengan hanya melihat tanpa tindakan bermakna dunia gagal menangani isu ini.

Sebagai umat Islam, sangat jelas penegasan yang dinyatakan Allah SWT berkenaan orang Yahudi dan Nasrani. Mereka selamanya tidak akan reda dengan agama Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar." Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." (Surah al-Baqarah, ayat: 120)

Mengambil iktibar ayat di atas kita dapat meyakini apa yang berlaku adalah bukti sangat jelas. Pertempuran antara Palestin dan Israel sudah berlarutan sekian lama. Bahkan, sejak perang Israel-Arab tahun 1967 yang membawa penaklukan Israel di wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan bahagian Timur Baitul Maqdis. Akibatnya, berlakulah rampasan tanah untuk penempatan penduduk Yahudi.

Kita tidak boleh hanya menganggap isu pertentangan antara Palestin dan Israel hanya isu pertembungan semata-mata. Ia juga isu kemanusiaan puluhan tahun rakyat Palestin dinafikan hak mereka. Sudah wajarlah mereka bertindak sebagai tanda bahawa mereka tidak berdiam diri atau mengalah. Mereka telah membuktikan satu kebangkitan untuk berhadapan dengan keganasan rejim Israel. Isu ini tidak mendapat perhatian kuasa besar dunia Britain dan Amerika Syarikat yang juga negara yang membantu pembentukan negara haram Israel pada 1948.

Umat Islam wajib menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin demi mempertahankan maruah Islam dan hak kemanusiaan. Bangkitlah berjuang dengan apa jua cara bersama rakyat Palestin menghadapi kerakusan Israel. Sekurang-kurangnya berdoalah dan meneruskan Qunut Nazilah.

s

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 7:00 AM