Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutamanya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel ke atas Palestin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.

Namun begitu, katanya, Malaysia akan terus berusaha menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

"Seperti diketahui umum, rejim Zionis Israel sekali lagi melakukan pencerobohan dan serangan ganas ke atas rakyat Palestin, bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam yang ketiga sejak 7 Mei 2021, diikuti dengan serangan udara tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei 2021.

"Malaysia mengikuti rapat perkembangan terkini yang sedang berlaku ke atas saudara kita di Palestin terutamanya serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel di Semenanjung Gaza serta kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat.

"Serangan yang zalim dan sangat keterlaluan ini amat meresahkan umat Islam apatah lagi ianya berlaku di bulan suci Ramadan yang mulia dan berlanjutan hingga Syawal, ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas berkenaan isu Palestin secara langsung di saluran televisyen RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani, hari ini.

Muhyiddin berkata, sehingga kini, dilaporkan lebih daripada 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera, kesan daripada serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel.

MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

"Sesungguhnya, perbuatan keji lagi terkutuk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan, yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh dunia.

"Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi, dan moral.

"Penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan," katanya.

Menurutnya, hari ini beliau mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo berhubung situasi terkini di Palestin.

Dalam perbincangan itu, katanya, mereka bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta-merta.

"Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

"Dalam hal ini Malaysia akan menerajui, bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

"Pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-Menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung pada 16 Mei 2021," katanya.

Mesyuarat itu, katanya, akan diwakili Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai wakil kerajaan Malaysia bagi menegaskan pendirian negara terhadap situasi di Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 4:46 PM