GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Essa Abu Yamin


KEGHAIRAHAN 25 individu mengadakan parti liar di rumah inap di Batu 4, Jalan Bakri, di Muar, terbantut apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam serbuan jam 3.30 pagi itu polis menahan 16 lelaki dan sembilan perempuan masing-masing berusia 20 hingga 28 tahun

"Semua mereka ditahan kerana terbabit dengan aktiviti 'private party' yang melanggar standard prosedur operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan memiliki dadah.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati seramai 23 daripada mereka yang ditahan adalah positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas 23 biji pil estacy, 0.8 gram syabu, set peralatan hiburan seperti sistem siar raya (PA System), pembesar suara dan beberapa peralatan elektronik hiburan.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (NO.7) 2020 Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melanggar SOP PKPP dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bagi kesalahan memiliki dan penyalahgunaan dadah.

"Semua tangkapan ditahan reman selama empat hari sehingga 9 Ogos untuk siasatan lanjut, katanya.

Katanya, polis menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti-aktiviti yang melanggar SOP PKPP yang sudah dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:41 PM