SEKUMPULAN individu yang menyertai parti liar ditahan polis. FOTO Ihsan Polis
SEKUMPULAN individu yang menyertai parti liar ditahan polis. FOTO Ihsan Polis
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Sekumpulan 20 individu yang mengadakan parti liar berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah inap desa di Jalan Presint 1, Darulaman Perdana di sini, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan 3 pagi itu, semua mereka masing-masing 18 lelaki dan dua wanita dikatakan baru mahu memulakan acara 'goyang kepala'.

Difahamkan, mereka berkongsi wang untuk menyewa inap desa terbabit selain turut mengenakan bayaran tertentu kepada setiap peserta yang hadir ke parti liar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan terbabit semua yang ditahan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dan dikenakan kompaun.

"Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, enam daripada mereka yang kesemuanya lelaki berusia 18 hingga 24 tahun positif dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 5:14 PM