FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pemilik sebuah resort di kawasan peranginan di negeri ini, akan dipanggil esok bagi memberi penjelasan berhubung penularan gambar dan poster memaparkan penganjuran sebuah parti di kawasan itu pada 20 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata, pertemuan itu akan turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Beliau berkata, pihaknya mahu meneliti jawapan daripada pihak premis swasta itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta, kita akan bertindak.

"Kita akan teliti jawapan dan penjelasan mereka terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil sama ada salah daripada segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit," katanya.

Razali turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai isu berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Jika ada bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terbabit dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut.

"Insya-Allah...kita sama-sama jaga dan majukan sektor pelancongan negeri kita," katanya.

Terdahulu, tular satu poster memaparkan satu parti yang dianjurkan pada 20 Mei lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika dihubungi berkata, siasatan terperinci berhubung isu berkenaan akan dijalankan.

"Kita akan siasat terlebih dahulu, jika terdapat kesalahan, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

"Tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa dan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 1:51 PM